SEBERANG PERAI – Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail mengesahkan punca kematian bayi lelaki berusia empat bulan di sebuah taska dalam kawasan Hospital Seberang Jaya (HSJ) pada 9 Mac lalu adalah disebabkan lemas.
Beliau berkata, ini berdasarkan pemeriksaan awal doktor setelah proses bedah siasat dijalankan terhadap mangsa di hospital berkenaan, baru-baru ini.
“Berdasarkan pemeriksaan awal oleh doktor, puncanya adalah disebabkan lemas,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Op Selamat 26 Hari Raya Aidilfitri 2026 Peringkat Kontinjen Pulau Pinang di Plaza Tol Juru di sini, hari ini.
Tambahnya, pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan selepas tempoh reman dua pengasuh disambung tujuh hari lagi bermula kelmarin.
Kelmarin, media melaporkan tempoh reman terhadap dua pengasuh berusia 22 tahun itu dilanjutkan sehingga 23 Mac ini bagi membantu melengkapkan siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Perintah sambung reman itu dibenarkan Majistret Nurul Rasyidah Mohd. Akit di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam.
Terdahulu, media melaporkan mangsa, Hayl Haarith Mohd. Syafaeez berusia empat bulan ditemui tidak sedarkan diri di sebuah taska dalam kawasan HSJ sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital sama pukul 4.20 pagi, 9 Mac lalu.
Susulan kejadian itu, dua pekerja taska ditahan bagi membantu siasatan dan satu rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) memaparkan insiden tersebut tular di media sosial. – KOSMO! ONLINE






