fbpx
Shazeli

Polis buru baki suspek kes khianat di Puchong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Polis sedang memburu beberapa lagi individu bagi membantu siasatan kes khianat dan ugutan jenayah di Taman Kinrara, Puchong, minggu lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pihaknya kini giat mengesan suspek yang masih bebas.

“Polis masih dalam usaha mengesan individu yang masih bebas.

“Tujuh suspek yang ditahan sebelum ini telah dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Kelmarin, Kosmo! melaporkan rasa tidak puas hati serta perasaan terguris dipercayai menjadi motif insiden khianat dan ugutan jenayah terhadap seorang aktivis, S. Chandrasegaran, 47, atau lebih dikenali sebagai ‘Cikgu Chandra’, di kawasan perumahan Taman Kinrara.

Shazeli berkata, siasatan polis setakat ini mendapati kejadian tersebut tidak melibatkan sebarang elemen kongsi gelap.

Menurutnya, polis berjaya menahan 12 suspek termasuk seorang wanita berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun menerusi beberapa serbuan bermula 12 Mac hingga semalam di sekitar Banting, Subang dan Serdang.

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang pada 10 Mac lalu, sekumpulan lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang disyaki menyerang rumah Chandra di Taman Kinrara.

Suspek yang memakai topeng hitam itu kemudian memecahkan cermin belakang kereta Perodua Viva miliknya serta merosakkan jeriji besi di hadapan rumah.

Dalam kejadian berasingan, sekumpulan individu dipercayai datang semula ke rumah Chandra kira-kira pukul 3.20 pagi pada 11 Mac sebelum mencampakkan objek dipercayai bom petrol.

Tindakan itu menyebabkan sebuah kereta jenis Suzuki Ertiga milik Chandra musnah 100 peratus manakala Perodua Viva dan sebuah lagi kenderaan turut terjejas akibat kebakaran itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI