JAKARTA – Penduduk sebuah perkampungan di rantau Seram Bahagian Barat (SBB), wilayah Maluku menyambut Hari Raya Aidilfitri semalam dengan orang ramai berarak sambil melaungkan takbir.
Kejadian berlaku di Desa Buano Utara, menjadikan ia salah satu perkampungan yang menyambut 1 Syawal lebih awal berbanding lain.
Rakaman video dikongsi di platform Instagram oleh akaun @mangentemaluku menunjukkan penduduk tempatan termasuk kanak-kanak berarak sambil membawa sebatang kayu yang dinyalakan api.
Selain mengelilingi kampung, mereka turut melaungkan takbir secara berjemaah.
Warga setempat dilaporkan membanjiri Masjid Sementara Al-Anmabua pada pagi semalam untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri.
Solat sunat itu bermula sekitar pukul 6.20 pagi (waktu tempatan) dan disertai lebih 350 jemaah. – AGENSI














