TANAH MERAH – Seorang wanita warga emas dan cucu yang maut dalam nahas di simpang tiga Bandar Kota Harmoni di sini hari ini sepatutnya menghadiri upacara pengebumian saudara mereka di Kampung Kutan, Tumpat dekat sini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi itu, Wan Rokiah Wan Ahmad, 64 dan cucunya, Nur Zara Zakirah Abdul Aliyy, 14, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada kepala manakala empat lagi ahli keluarga mereka mengalami kecederaan.
Anak saudara kepada Allahyarham Wan Rokiah, Wan Mohd. Azana Wan Mohd. Najid, 57, berkata, keluarga itu yang menetap di Rawang, Selangor, sedang dalam perjalanan ke Kampung Kutan untuk menghadiri upacara pengebumian jenazah anak saudara Wan Rokiah, Wan Nor Asma Hani Wan Mohd. Najid, 43.
Menurutnya, Wan Nor Asma Hani yang merupakan adiknya meninggal dunia di Serdang, Selangor akibat penyakit kanser.
“Jenazah adik saya dibawa pulang dan dikebumikan di Kampung Kutan hari ini. Sebaik arwah dan keluarganya tahu mengenai berita itu, mereka terus bertolak ke Kelantan.
“Kali terakhir saya menghubungi Allahyarham Wan Rokiah pada malam tadi semasa mereka berada di Kuala Lipis, Pahang. Dia ada memaklumkan melihat van jenazah yang membawa jenazah adik saya.
“Tidak lama kemudian, anak perempuan sulung arwah, Azwa menghubungi saya dan memberitahu ibunya pula terlibat kemalangan,”katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tanah Merah hari ini.
Wan Mohd. Azana memberitahu, jenazah adiknya itu tiba di rumah pada pukul 3.30 pagi sebelum dia dan keluarga dikejutkan dengan berita kereta dinaiki arwah Wan Rokiah bersama keluarga terbabit nahas.
Menurutnya, selepas selesai urusan pengebumian jenazah Wan Nor Asma Hani, dia dan keluarga terus ke Hospital Tanah Merah untuk mengurus jenazah ibu saudara dan cucunya.
“Jenazah arwah Wan Rokiah dan cucunya akan dikebumi di Rawang, Selangor,” ujarnya.
Kosmo! Online hari ini melaporkan, nahas yang mengorbankan seorang nenek dan cucu di simpang tiga Bandar Kota Harmoni di sini hari ini dipercayai berpunca daripada kereta dinaiki mangsa membelok lebih awal di kawasan simpang tersebut sebelum dirempuh sebuah lagi kereta.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd. Haki Hasbullah berkata, Wan Rokiah dan Nur Zara Zakirah yang berada di tempat duduk belakang kereta mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. – KOSMO! ONLINE






