PETALING JAYA – Perantau yang mahu pulang menyambut Aidilfitri di Pantai Timur disaran merancang perjalanan lebih awal dengan mematuhi Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) bagi mengurangkan kesesakan di laluan utama menuju ke Pahang, Terengganu dan Kelantan.
Menurut TTA yang dikeluarkan oleh AFA PRIME Berhad, bagi fasa balik kampung pada 19 dan 20 Mac dari Kuala Lumpur dan Selangor, pengguna yang menuju ke Pahang dicadangkan memasuki lebuh raya antara pukul 8 pagi hingga 11 pagi atau 12 tengah hari hingga 4 petang.
Sementara itu, perantau ke Terengganu dan Kelantan pula disaran memulakan perjalanan antara pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari atau 8 malam hingga 11 malam.
Dalam pada itu, pengguna kenderaan ringan dinasihatkan mengelakkan waktu puncak pergerakan bas ekspres di Plaza Tol Gombak iaitu antara pukul 9.30 pagi hingga 12 tengah hari dan 9.30 malam hingga 12 tengah malam bagi mengurangkan kesesakan.
Menurut AFA PRIME, cadangan itu dibuat sebagai langkah proaktif untuk mengurangkan kesesakan di titik kritikal terutama di Plaza Tol Gombak, Bentong dan Karak yang menjadi gerbang utama ke Pantai Timur.
Selain itu, pengguna juga digalakkan memanfaatkan waktu perjalanan bebas antara pukul 12 tengah malam hingga 6 pagi bagi memastikan perjalanan lebih lancar, khususnya ketika jumlah kenderaan dijangka meningkat sempena musim perayaan.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif AFA PRIME Berhad, Ahmad Faizi Latifi Ahmad Faiz berkata, pematuhan terhadap TTA bukan sahaja dapat membantu melancarkan aliran trafik, malah menyumbang kepada ekosistem pemanduan yang lebih selamat dan kurang tekanan buat orang ramai yang pulang menyambut Aidilfitri.
Menurutnya, AFA PRIME juga memastikan semua kemudahan di sepanjang lebuh raya berada pada tahap optimum dengan unit rondaan serta pasukan bantuan kecemasan ditempatkan di lokasi strategik bagi memberi bantuan segera sekiranya berlaku insiden.
Untuk maklumat trafik semasa, pengguna boleh menghubungi LPT-Line di talian 1-700-818-700 atau mengikuti akaun @LPTTrafik di platform X.
AFA PRIME Berhad merupakan pemegang konsesi bagi KLK dan LPT1 serta bertanggungjawab mengurus dan menyelenggara kedua-dua lebuh raya tersebut. – KOSMO! ONLINE














