MELAKA – Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh kenalannya dalam kejadian di Sungai Udang, minggu lalu.
Tertuduh, Saiful Hadi Othman, 44, bagaimanapun hanya mengangguk faham sejurus pertuduhan dibacakan dan tiada pengakuan direkodkan pada prosiding di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kematian terhadap Muhamad Hanafi Yusof, 25, antara pukul 7.58 malam hingga 8.15 malam di sebuah rumah beralamat No. 128-1, Jalan Mohd Akhir, Batu 12, Sungai Udang, dalam daerah Melaka Tengah, pada 11 Mac 2026.
Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika tidak dijatuhi hukuman mati.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Syaza Nur Sharif memohon tarikh sebutan semula bagi serahan laporan bedah siasat.
Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 29 April depan untuk sebutan semula kes.
Terdahulu, Kosmo! pada 12 Mac lalu melaporkan seorang pemuda berusia 25 tahun maut ditikam kenalannya menggunakan parang dalam pergaduhan selepas suspek menyangka telefon bimbitnya telah dijual mangsa.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu, mangsa ditemui terlantar di bahagian beranda rumahnya di Sungai Udang dengan tiga kesan tikaman di dada kiri.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Christopher Patit berkata, kejadian disedari oleh abang mangsa selepas mendengar pergaduhan antara adiknya dengan suspek yang berusia 44 tahun.
Katanya, suspek kemudian bertindak melarikan diri sejauh kira-kira 300 meter dari lokasi sebelum cuba bersembunyi di dalam sebuah kereta milik orang awam di kawasan berhampiran.
Lelako itu bagaimanapun berjaya ditangkap oleh orang awam yang bertindak memecahkan cermin kenderaan berkenaan. – KOSMO! ONLINE














