fbpx
SUTIYONO (tiga dari kanan) didakwa di Mahkamah Majistret Teluk Intan atas dua pertuduhan menunggang motosikal secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian dan kecederaan terhadap dua pelajar kolej vokasional, minggu lalu.

Buruh ladang bawa sabit sebabkan kematian pelajar didakwa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TELUK INTAN – Seorang buruh ladang warga Indonesia yang ditahan bagi membantu siasatan kes kematian seorang pelajar Kolej Vokasional akibat terkena sabit minggu lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Tertuduh, Sutiyono, 39, didakwa sebagai penunggang motosikal Honda EX5 berwarna hitam telah menunggang kenderaan itu secara berbahaya kepada orang awam sehingga menyebabkan kematian Adham Faisal, 18, yang semasa kejadian menunggang motosikal Honda Vario 150cc.

Kesalahan itu dilakukan di Lorong Haji Abdul Rashid, Kampung Selabak dalam daerah Hilir Perak kira-kira pukul 8.10 pagi, pada 9 Mac 2026.

Bagi kesalahan itu, pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun serta denda antara RM20,000 hingga RM50,000 jika sabit kesalahan.

Sutiyono juga berdepan pertuduhan kedua iaitu menunggang motosikal yang sama secara berbahaya hingga menyebabkan kecederaan kepada Muhammad Mu’ammar Ismail, 17, pada tarikh, masa dan lokasi sama.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 42(1) akta sama yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun serta denda antara RM5,000 hingga RM15,000 jika sabit kesalahan.

Sutiyono mengangguk faham selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Naidatul Athirah Azman.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana tertuduh mempunyai masalah pendengaran.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Darwis Aghniya Halim Azizi mencadangkan jaminan RM8,000 untuk kedua-dua pertuduhan selain meminta agar lesen memandu tertuduh dirampas sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, peguam Francis Sinnappan yang mewakili tertuduh secara pro bono memohon jaminan dikurangkan mengambil kira faktor pekerjaan tertuduh selain menanggung keluarga termasuk seorang anak yang menetap di Indonesia.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM5,000 dengan dua penjamin warga Malaysia dengan salah sorang daripada penjamin merupakan majikan tertuduh.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 28 April depan untuk serahan dokumen dan laporan bedah siasat serta lantikan dua jurubahasa iaitu bahasa isyarat dan bahasa Indonesia.

Media sebelum ini melaporkan, seorang pelajar Kolej Vokasional (Pertanian) Teluk Intan maut selepas sebilah sabit berhulu panjang yang dibawa suspek terkena pada leher mangsa ketika kedua-dua motosikal berhampiran antara satu sama lain di atas jalan.

Insiden itu menyebabkan mangsa terjatuh dari motosikal dan maut di lokasi kejadian manakala rakannya cedera di tangan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI