fbpx
Hannah Yeoh (tengah) dan Wan Azizah (tiga dari kiri) bergambar dengan pesakit dan staf HRC semasa lawatan ke wad HRC, Kuala Lumpur, hari ini.

Bas GoKL masuk HRC mulai April, mudahkan pesakit, warga emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memperluaskan laluan bas percuma GoKL ke Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) bermula 1 April ini bagi meningkatkan akses pengangkutan awam kepada pesakit dan warga kota.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, peluasan laluan GoKL 11 yang melibatkan perjalanan MRT Maluri ke Bandar Tun Razak itu akan menyediakan hentian baharu di dalam kawasan hospital berkenaan.

“Inisiatif ini bertujuan memudahkan pesakit, waris serta warga kota khususnya golongan warga emas mendapatkan rawatan di HRC. Kita jangka populasi warga emas di Kuala Lumpur akan mencecah 11.7 peratus menjelang 2030, jadi kemudahan seperti ini amat penting,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di lobi Kompleks Wad Hospital Rehabilitasi Cheras di Lobi Kompleks Wad Hospital Rehabilitasi Cheras, hari ini.

Tambahnya, langkah itu merupakan sebahagian usaha Jabatan Wilayah Persekutuan untuk merakyatkan fasiliti kerajaan agar kemudahan kesihatan bukan sahaja tersedia, tetapi mudah diakses semua lapisan masyarakat termasuk mereka yang berdepan cabaran mobiliti.

Dalam masa sama, Hannah menjelaskan peluasan laluan GoKL tidak akan menambah kesesakan trafik, sebaliknya membantu mengurangkan beban jalan raya dengan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.

“Fokus kita adalah memaksimumkan manfaat GoKL kepada golongan yang benar-benar memerlukan seperti warga emas dan pelajar sekolah, memandangkan kos operasi ketika ini mencecah RM30 juta setahun,” katanya.

Tambahnya, kerajaan juga sedang mengkaji pelaksanaan Polisi Mesra Warga Emas serta menilai keperluan mengenakan caj nominal kepada pengguna bukan warganegara bagi memastikan kelestarian perkhidmatan tersebut.

Dalam pada itu, kadar penggunaan katil di HRC kini sekitar 60 peratus dan dijangka meningkat dengan adanya kemudahan akses pengangkutan yang lebih baik.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, HRC merupakan satu-satunya hospital rehabilitasi khusus di ibu negara yang menyediakan perkhidmatan pemulihan komprehensif kepada pesakit pasca kecederaan, strok dan penyakit kronik.

“Peranan hospital ini sangat penting dalam membantu pesakit memulihkan fungsi fizikal, meningkatkan mobiliti seterusnya memperbaiki kualiti hidup mereka,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI