fbpx
Gambar hiasan.

11,000 kakitangan TNB siap siaga pastikan bekalan elektrik stabil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Lebih 11,000 kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) diarahkan siap siaga sepanjang sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini bagi memastikan bekalan elektrik di seluruh negara stabil.

Ketua Pegawai Kanan Rangkaian TNB, Ir. Mahathir Nor Ismail berkata, pasukan teknikal TNB akan memantau rapi keadaan sistem sepanjang musim perayaan dan bersedia mengambil tindakan segera bagi memulihkan bekalan jika berlaku gangguan.

“TNB telah menggerakkan pelan kesiapsiagaan operasi termasuk melaksanakan beberapa projek menaik taraf sistem rangkaian bekalan elektrik di seluruh negara dan memantau sistem rangkaian dan aset kritikal secara berterusan.

“Antara langkah utama TNB adalah menugaskan lebih 11,000 anggota kerja untuk bersiap siaga 24 jam sehari secara giliran mulai tiga hari sebelum Syawal,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mahathir Nor berkata, TNB turut menugaskan anggota kerjanya di ‘CareLine” secara giliran 24 jam bagi mengendalikan talian perkhidmatan pelanggan serta platform media sosial seperti Facebook TNB CareLine dan X @Tenaga_Nasional.

Selain itu, katanya, TNB menempatkan 136 janakuasa bergerak di lokasi strategik serta menyediakan 379 kenderaan sokongan termasuk kren auger, ‘tower wagon’, ‘skylift’ dan lori penyelenggaraan sebagai langkah kontingensi jika berlaku gangguan bekalan elektrik.

Tambah beliau, sebagai langkah mitigasi tambahan, TNB melaksanakan tindakan mengimbangi beban, meningkatkan kapasiti transformer serta menambah baik rangkaian bagi memastikan sistem pengagihan elektrik kekal stabil sepanjang musim perayaan.

Dalam pada itu, Mahathir Nor
menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengutamakan keselamatan elektrik serta mengamalkan penggunaan tenaga secara cekap.

Kata beliau, antara langkah keselamatan elektrik yang boleh diamalkan adalah memastikan semua peralatan elektrik berada dalam keadaan baik sebelum digunakan.

“Memastikan soket, palam, pendawaian elektrik dan peranti arus baki (PAB) berfungsi dengan baik. Tidak memasang terlalu banyak peralatan elektrik pada satu soket.

“Tidak menggunakan telefon semasa mengecas dan jangan biar peralatan elektrik beroperasi tanpa pengawasan. Mendapatkan khidmat kontraktor berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga (ST) untuk kerja pendawaian atau pembaikan elektrik.

“Mematikan suis utama dan cabut palam peralatan elektrik yang tidak digunakan sebelum pulang ke kampung,” katanya.

Sementara itu, beliau menggalakkan penggunaan tenaga cekap dengan menyarankan pengguna memaksimumkan penggunaan cahaya semula jadi pada waktu siang.

Katanya, orang ramai disaran merancang aktiviti memasak secara cekap seperti membakar kuih raya dalam satu masa dan tidak menggunakan banyak peralatan elektrik berkuasa tinggi secara serentak.

“Memastikan peti sejuk tidak diisi terlalu penuh dengan juadah atau makanan agar ia dapat berfungsi dengan lebih optimum. Membasuh pakaian dengan muatan penuh dan jemur pakaian berbanding menggunakan alat pengering.

“Menetapkan suhu penyaman udara pada 24 hingga 26 darjah Celsius dan bersihkan penapis secara berkala untuk mengoptimumkan keselesaan.

“Memantau dan merancang penggunaan elektrik menggunakan aplikasi myTNB yang mana pengguna meter pintar boleh melakukannya secara harian,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI