fbpx
Gambar kenangan mangsa, Siti Aisyah bersama suami dan anak-anaknya.

Wanita maut kebakaran: Suami reda, terima hakikat isteri sudah tiada

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBERANG PERAI – Suami wanita yang maut dalam kebakaran rumah mereka di Kampung Guar Kepayang, Kepala Batas di sini, Jumaat lalu dijangka menjalani pembedahan pada kedua-dua tangannya dalam tempoh terdekat.

Anak ketiga mangsa, Mohammad Nazrul Nizam, 35, berkata, bapanya Yacob Aziz, 66, kini dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) akibat kecederaan melecur yang dialaminya itu termasuk pada muka dan belakang badan.

“Keadaan ayah kini stabil. Dia masih trauma dengan kejadian (kebakaran) berlaku. Nampak dia sedih tetapi dia tak tunjuk dekat kami, anak-anak.

“Namun, ayah reda yang mak sudah pergi buat selama-lamanya.Memang pada awalnya nampak ayah banyak diam berbanding sebelum ini dia seorang yang ceria. ,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini, sebentar tadi.

Dalam pada itu, Mohammad Nizam memberitahu, abang keduanya yang turut melecur pada kaki kini sudah dibenarkan pulang ke rumah.

“Buat sementara waktu, abang dan adik-adik kini tinggal sementara di rumah jiran, yang juga penduduk kampung ini. Kami rancang akan mula bersihkan kediaman keluarga yang terbakar selepas Hari Raya Aidilfitri ini,” ujarnya.

Mengulas lanjut, katanya lagi, dia sehingga kini masih tidak dapat melupakan tragedi yang menimpa keluarganya sehingga mereka kehilangan ibu tercinta.

“Kalau duduk seorang diri, memang akan terasa kehilangan kerana saya teringat sangat dekat mak. Selalu beraya dengan mak tapi kali ini dia sudah tiada,” katanya sebak.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan sebuah keluarga berdepan ujian apabila kehilangan ibu yang maut rentung dalam kejadian kebakaran rumah di Kampung Guar Kepayang, Kepala Batas di sini, kira-kira pukul 4.55 petang, Jumaat lalu.

Dalam kejadian itu, mangsa, Siti Aisyah Ahamad, 58, yang terperangkap ditemukan di dalam bilik tidurnya dalam keadaan menyayat hati apabila badan dan mukanya ditimpa kayu.

Ketika kejadian, mangsa berada bersama suami, anak kedua dan seorang anak saudaranya berusia lapan tahun. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN