TAIPING – Peluang menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini menjadi detik penuh emosi dan keinsafan buat tiga bersaudara yang akhirnya dapat kembali ke pangkuan keluarga selepas mendapat pelepasan awal dari Penjara Taiping.
Mereka adalah antara 39 prospek yang diberi peluang melalui Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Madani, sekali gus membuka lembaran baharu dalam kehidupan selepas melalui fasa hitam akibat penyalahgunaan dadah.
Salah seorang daripada mereka yang enggan dikenali mengakui sudah lama terlibat dengan dadah dan ini adalah kali pertama dia ditahan.
“Sepanjang lima bulan berada di sini, saya mula sedar dan insaf dengan kesilapan lalu. Saya bersyukur kerana diberi peluang untuk kembali ke pangkuan keluarga, lebih-lebih lagi menjelang Hari Raya. Peluang ini memberi ruang untuk memohon maaf kepada ibu bapa dan membuat perubahan positif dalam kehidupan. Saya berjanji akan berubah menjadi insan yang lebih baik,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Pelepasan Prospek (PBSL) Madani di Penjara Taiping hari ini.
Adiknya, yang dikenali sebagai Remy, 27, pula berkata, dia mula terjebak sejak usia 21 tahun akibat pengaruh rakan-rakan ketika bekerja dan melepak.
Sementara itu, sepupu mereka, Aziz, 32, berkongsi bahawa sepanjang enam bulan berada di pusat pemulihan, ibunya tidak pernah putus datang melawat.
“Di pagi raya nanti, saya ingin mencium tangan ibu dan memeluknya supaya ibu dapat memaafkan segala kesilapan yang telah saya lakukan. Saya juga mahu menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid bersama keluarga,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Penjara Taiping, Shahrul Izzat Hamid, berkata seramai 39 prospek diberi pelepasan awal sempena Hari Raya melalui program PBSL Madani.
Menurutnya, kebanyakan prospek yang dilepaskan berumur antara 30 hingga 50 tahun, manakala bagi mereka berumur lebih 50 tahun, penempatan tertumpu kepada kediaman masing-masing. – KOSMO! ONLINE














