TAPAH – Enam warga emas kategori asnaf tidak menyangka dapat menunaikan umrah selain berpuasa dan menyambut Hari Raya Aidilfitri di Mekah dan Madinah secara percuma hasil tajaan Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd.
Menurut salah seorang yang terpilih, Saadiah Ahmad, 69, yang kini mengikut pengajian agama di Pondok Al-Aminin, Lubuk Katak Tapah, dia tidak menyangka terpilih untuk menunaikan umrah dengan pembiayaan sepenuhnya termasuk wang saku sebagai perbelanjaan sampingan.
“Tidak sabar untuk menatap Kaabah dengan mata sendiri. Saya masih bujang dan pekerjaan sebelum ini pun biasa-biasa sahaja sekadar cukup belanja sendiri, sukar untuk menyimpan. Mungkin ini kesempatan terakhir saya melipatgandakan ibadah sebelum menemui Tuhan,” katanya kepada pemberita di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Batang Padang hari ini.
Terdahulu, Saadiah diraikan bersama lima yang lain oleh Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak, Nor Tipah Majin dan Pengurus Wilayah Andalusia, Ahmad Hafiz Lukmanul Hakim pada Majlis Pelepasan Peserta Umrah Melalui Tajaan Syarikat Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. Peringkat Negeri Perak.
Bagi Muhammad Wong Abdullah, 71, juga seorang bujang yang menetap di Rumah Seri Kenangan Seri Iskandar di Manjung berkata, dia menjaga kesihatan dan kerap bersenam sejak beberapa bulan lalu sebaik sahaja menerima tawaran umrah tersebut.
“Tidak boleh digambarkan dengan kata-kata peluang yang cukup bererti ini, saya berazam untuk berdoa banyak-banyak di sana nanti untuk kesejahteraan umat Islam di seluruh dunia,” katanya.
Dalam pada itu, Nor Tipah, berkata, keenam-enam peserta terpilih itu berumur 65 hingga 70 tahun yang telah dipastikan mempunyai tahap kesihatan baik selain tidak mempunyai penyakit yang serius.
Jelasnya, kesemua mereka telah mengikuti kursus secara berkala selain mendapat wang saku tambahan daripada jabatannya dan Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) akan mula menunaikan umrah bermula esok sehingga 29 Mac ini.
Ahmad Hafiz pula berkata, pihak Andalusia menaja keenam-enam asnaf tersebut pakej umrah keseluruhan termasuk tiket penerbangan, makanan, penginapan dan pengangkutan yang bernilai RM8,890 setiap seorang. – KOSMO! ONLINE














