JOHOR BAHRU – “Sebaik sahaja saya dengar ada mangsa lemas, saya tak fikir panjang lagi dan terus hidupkan enjin bot menuju ke lokasi kejadian,” cerita Wan Sapaat Sa’yon, 39, mengenai kejadian lemas di Pantai Tanjong Buloh, Sedili Kecil, Kota Tinggi, bulan lalu.
Menurut Wan Sapaat, ketika kejadian, dia sedang berada di jeti sebelum dihubungi sepupunya yang memaklumkan terdapat kes lemas membabitkan seorang remaja dan dua kanak-kanak di lokasi kejadian.
Nelayan itu berkata, dia bertindak pantas mengambil bekalan minyak diesel dari bot lain untuk dituang ke dalam tangki botnya sebelum bergerak ke Pantai Tanjong Buloh.
“Saya Masih ingat dengan jelas situasi ketika itu, laut amat bergelora dengan pukulan ombak besar yang menyukarkan pergerakan bot saya yang mengambil masa hampir setengah jam untuk tiba ke lokasi. Apabila sampai di kawasan pantai itu, saya terdengar jeritan remaja tersebut yang meminta tolong namun saya tidak dapat untuk pergi dekat dengannya.
“Saya pun mencampak tali ke arah mangsa tersebut, sebaik sahaja dia memegang tali itu, saya terus menariknya untuk menaiki bot. Sebaik sahaja pulang ke jeti, bot saya sudah kehabisan minyak,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima sijil penghargaan daripada Jabatan Bomba dan Penyelemat Malaysia (JBPM) Negeri Johor di Ibu Pejabat JBPM Negeri Johor, di sini hari ini.
Penyerahan sijil penghargaan itu disempurnakan oleh Pengarahnya, Siti Rohani Nadir atas segala jasa dan sumbangan yang diberikan.
Pada 17 Februari lalu, akhbar melaporkan seorang kanak-kanak lelaki lemas ketika mandi bersama tiga rakannya di Pantai Tanjong Buloh, Sedili Kecil.
Komander Operasir dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penawar, Pegawai Bomba Kanan I Muhammad Hashim Ismail dilaporkan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.17 petang memaklumkan kejadian tersebut membabitkan tiga mangsa iaitu Mohamad Soleh Hazriq Mokhtar, 16, serta Arman Hanif dan Putra Aniq Fairuz Mohd. Faizul yang berusia 11 tahun. – KOSMO! ONLINE














