PUTRAJAYA – Pembahagian tugas antara agensi penguatkuasaan terus diperkemas bagi meningkatkan keberkesanan operasi mencegah penyeludupan diesel di kawasan Sabah dan Sarawak.
Jurucakap kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, di bawah penyelarasan baharu itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menguruskan penguatkuasaan di bahagian darat.
Katanya, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pula bertanggungjawab di kawasan perairan serta sungai.
Menurut Fahmi, kawasan sempadan pula sedang diperincikan dengan cadangan untuk diselia oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).
“Mesyuarat Jemaah Menteri juga telah diberi sedikit maklum balas mengenai mesyuarat yang diadakan oleh jawatankuasa penguatkuasaan, terutama dalam usaha menangani masalah penyeludupan diesel di Sabah dan Sarawak.
“Antara yang telah diberi penegasan adalah mekanisme Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) yang mungkin perlu diteliti dengan lebih rapi, sama ada diteruskan dengan mekanisme sedia ada ataupun dirangka satu mekanisme yang berbeza,” katanya pada sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet di sini, hari ini.
Beliau berkata, antara isu yang turut dibangkitkan termasuk lah penyalahgunaan, penyelewengan serta penjualan diesel yang mungkin berlaku dengan isu tersebut sedang ditangani oleh jawatankuasa berkenaan. – KOSMO! ONLINE














