JASIN – Seorang lelaki rentung selepas kenderaan pacuan empat roda dipandunya terbakar dalam nahas melibatkan sebuah treler di Kilometer 193.8 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah selatan) di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.10 pagi itu, mangsa yang identitinya masih belum dikenal pasti ditemui dalam keadaan tersepit di tempat duduk pemandu selepas kenderaan dinaikinya terbakar 80 peratus.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd. Hafidzatullah Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.15 pagi.
Katanya, sepasukan 20 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh dan BBP Jasin Bestari dikejarkan ke lokasi bersama-sama jentera, mendapati sebuah lori treler terbakar kira-kira 50 peratus manakala pacuan empat roda musnah sehingga 80 peratus.
Menurut beliau, pemandu lori treler berusia 54 tahun terlibat bagaimanapun sempat menyelamatkan diri dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Operasi berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 4.41 pagi dan mangsa berjaya dikeluarkan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE














