GOMBAK – Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan merasmikan pemeteraian perjanjian Joint Lead Coordinator (JLC) antara Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) dan lapan institusi perbankan bagi mewujudkan mekanisme pengurusan risiko pertukaran asing melibatkan pembiayaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Perjanjian tersebut merangkumi syarikat MRL selaku pemilik projek ECRL, bersama Maybank, CIMB, RHB, AmBank, Bank of China, United Overseas Bank, China Construction Bank, dan Industrial and Commercial Bank of China.
Melalui pelantikan institusi perbankan sebagai JLC, satu mekanisme pengurusan risiko pertukaran asing yang lebih tersusun, telus dan berdisiplin dapat dilaksanakan bagi mengurus penyelesaian pinjaman tersebut dalam mata wang renminbi.
Amir Hamzah berkata, dalam pengurusan pembiayaan projek antarabangsa yang melibatkan mata wang asing, pengurusan risiko pertukaran asing merupakan satu komponen penting bagi memastikan kestabilan kewangan projek serta mengelakkan pendedahan yang tidak perlu kepada turun naik kadar pertukaran mata wang.
“Penglibatan institusi-institusi kewangan terkemuka ini mencerminkan tahap keyakinan yang tinggi terhadap struktur kewangan projek ECRL serta keupayaan sistem perbankan negara dalam menyokong pembiayaan dan pengurusan risiko bagi projek infrastruktur strategik berskala besar,” katanya dalam ucapan pada majlis pemeteraian perjanjian di di Stesen ECRL Terminal Bersepadu Gombak, semalam.
Pembinaan projek ECRL dengan jajaran sepanjang 665 kilometer (km) dan 20 buah stesen melibatkan kos sebanyak RM50.27 bilion.
MRL, yang merupakan anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan (Diperbadankan), telah mendapat pinjaman berjangka sebanyak RM37.4 bilion daripada The Export-Import Bank of China pada kadar faedah 3.25 peratus.
Pada majlis berkenaan, Amir Hamzah turut merasmikan penyempurnaan pembinaan landasan ECRL dari Kota Bharu ke Gombak yang merangkumi jajaran utama sepanjang 519 km.
Projek ECRL kini telah mencapai kemajuan pembinaan sebanyak 92.62 peratus setakat Februari lalu, selari dengan jadual penyiapan jajaran dari Kota Bharu ke Gombak menjelang akhir tahun ini dan beroperasi secara komersial bermula Januari 2027. – KOSMO! ONLINE














