fbpx
SELANGOR meraih kemenangan pada aksi derbi Lembah Klang selepas menewaskan KL City kelmarin.

Liga Super: Selangor terus kebal bawah Pan-gon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEMENANGAN 3-2 ke atas Kuala Lumpur City (KL City) malam kelmarin meletakkan Selangor FC terus berada pada landasan tepat bagi membolehkan mereka menamatkan saingan Liga Super musim ini sebagai naib juara di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT).

Pada perlawanan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras itu, skuad Gergasi Merah selesa mendahului 3-0 hasil jaringan Faisal Halim, Mamadou Diarra dan Hugo Boumous sebelum KL City meledak dua gol dalam tempoh 20 minit terakhir menerusi Madger Gomes dan Safawi Rasid.

Ketua jurulatih Selangor, Kim Pan Gon mengakui skuad kendaliannya masih memiliki banyak kelemahan yang perlu diperbaiki meskipun belum pernah tewas sejak beliau dilantik mengemudi pasukan itu Januari lalu.

“Secara keseluruhan, kami bermain sangat baik dan menjaringkan gol awal. Kemudian kami berjaya menjadikan kedudukan 3-0 di separuh masa kedua, tetapi saya agak kecewa apabila kami melepaskan dua gol.

“Sepatutnya kami tidak melepaskan sebarang gol pada perlawanan hari ini (kelmarin) kerana kami mengawal permainan dengan sangat baik, jadi ia merupakan salah satu aspek yang perlu diperbaiki,” katanya.

Pada ketika ini, Selangor menghuni tangga kedua liga selepas mengumpul 42 mata keseluruhan, diekori rapat Kuching City FC menerusi perbezaan dua mata, manakala KL City di kedudukan keempat dengan 39 mata.

Sementara itu, Pan Gon yang juga bekas pengendali skuad kebangsaan menegaskan, Selangor perlu kekal menampilkan aksi seperti itu, selari dengan reputasi mereka sebagai pasukan dengan sejarah cemerlang.

“Selangor memang sepatutnya seperti ini, sebuah pasukan yang kaya dengan sejarah dan kuat. Setakat ini semuanya berjalan dengan baik dan kami sedang cuba untuk membina sebuah pasukan yang memiliki karakter tersendiri,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI