fbpx
JDT mengesahkan kejuaraan Liga Super buat kali ke-12 berturut-turut selepas membenam Brunei kelmarin. - FB JOHOR SOUTHERN TIGER

Liga Super: Misi JDT buru rekod sempurna

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR Darul Ta’zim (JDT) masih menggalas misi penting meskipun sudah merangkul gelaran Liga Super musim ini selepas menewaskan Brunei DPMM FC 3-0 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Hassanal Bolkiah malam kelmarin.

Jurulatih skuad Harimau Selatan, Xisco Munoz menegaskan, mereka memiliki matlamat lebih besar apabila mahu menamatkan kempen liga musim ini tanpa tercicir sebarang mata dengan saingan berbaki lima perlawanan sahaja lagi.

Beliau berkata, anak-anak buahnya perlu mengekalkan fokus selain sentiasa bersedia untuk memberikan segala-galanya memandangkan JDT juga masih berada dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), Piala Shopee serta Piala Malaysia.

“Hari ini (kelmarin) kami sudah mengesahkan kejuaraan (liga). Memang benar kami sudah menjadi juara tetapi kami memiliki impian yang lebih besar, iaitu tidak tercicir sebarang mata dalam liga.

“Kami perlu meneruskan aksi seperti ini kerana selepas ini kami akan bermain di separuh akhir Piala Shopee dan seterusnya suku akhir (ACLE). Oleh itu, kami perlu bekerja keras bagi mengekalkan prestasi,” katanya.

Menerusi kemenangan hasil jaringan dilakukan Ager Aketxe, Oscar Arribas dan Marcos Guilherme itu, JDT berjaya melakar sejarah tersendiri apabila merangkul gelaran ke-12 berturut-turut sejak 2014.

Sementara itu, Munoz mengakui, mereka berdepan aksi cukup sukar sepanjang perlawanan tersebut selain menganggap tidak ada perlawanan yang mudah setiap kali berkunjung ke gelanggang lawan.

Selepas ini, JDT akan kembali ke Stadium Sultan Ibrahim bagi melayan kunjungan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam saingan Liga Super yang dijadualkan berlangsung malam esok.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI