KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) meningkatkan pemantauan terhadap barangan automotif susulan dakwaan kebimbangan kenaikan harga di pasaran.
Pengarah KPDN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), Mohd. Sabri Seman berkata, langkah itu diambil bagi mengekang sebarang unsur pencatutan termasuk melibatkan minyak hitam dan alat ganti kenderaan.
Menurutnya, tindakan tersebut selaras dengan arahan kementerian susulan perkembangan konflik antarabangsa termasuk ketegangan Iran-Amerika Syarikat yang berpotensi menjejaskan rantaian bekalan.
“Jika berlaku kenaikan harga, pemantauan akan dipertingkatkan terutama melibatkan petrol, diesel dan barangan berkaitan dan KPDN akan menyiasat,” katanya ketika ditemui media selepas operasi Ops Embun di sini hari ini.
Beliau berkata, pihaknya turut mengambil perhatian terhadap dakwaan kenaikan harga sehingga 25 peratus bagi sesetengah produk automotif yang tular dalam kalangan pengguna.
Sehubungan itu, orang ramai diminta menyalurkan aduan lengkap bagi membolehkan siasatan dijalankan dengan lebih berkesan.
“Maklumat terperinci seperti nama premis dan kadar kenaikan membolehkan pasukan kami bertindak dalam tempoh 24 jam untuk mengenal pasti sama ada wujud pencatutan,” katanya.
Tambahnya, kerjasama pengguna penting bagi memastikan tindakan penguatkuasaan dapat dilaksanakan secara menyeluruh sekali gus melindungi orang ramai daripada kenaikan harga tidak munasabah. – KOSMO! ONLINE














