WASHINGTON – Lelongan keropok berbentuk seperti watak Pokemon, Charizard mencatatkan harga tertinggi mencecah AS$87,840 (RM345,000), lapor agensi berita United Press International.
Menurut Guinness World Records, sekeping keropok Flamin’ Hot Cheeto itu dijual dalam acara lelongan anjuran firma Goldin Auctions.
Lelongan itu mencatatkan rekod dunia bagi harga tertinggi yang dibayar untuk snek jagung menyerupai watak permainan video.
Cheeto sepanjang 7.6 sentimeter itu dilekatkan pada kad Pokemon ‘Cheetozard’ rekaan khas dan dibungkus dalam kotak lutsinar.
“Apa menjadikan item ini begitu menyeronokkan dan unik adalah ia menghubungkan dua peminat iaitu Pokemon dan Cheetos,” kata Ketua Konsainan Goldin Auction, Dave Amermanat.
Cheeto itu pada asalnya dibeli di laman e-dagang, eBay pada harga AS$350 (RM1,374) oleh seorang pemilik syarikat memorabilia sukan antara tahun 2018 hingga 2022. Imej snek itu menjadi tular di media sosial pada tahun 2024. – AGENSI














