PUTRAJAYA – Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani dijangka mengadakan beberapa perbincangan dengan Amerika Syarikat (AS) berhubung isu Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART).
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, berkata mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi taklimat ringkas berhubung isu berkenaan.
“Jemaah Menteri diberi sedikit taklimat ringkas oleh Menteri MITI, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan difahamkan bahawa beliau akan meneruskan beberapa perbincangan dengan pihak Washington.
“Jadi, pada waktu ini belum ada maklumat tambahan,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Jemaah Menteri di sini, hari ini.
Media antarabangsa pada Februari lalu melaporkan Mahkamah Agung AS memutuskan bahawa penggunaan kuasa darurat oleh Presiden Donald Trump untuk mengenakan apa yang digelar tarif ‘timbal balas’ ke atas hampir semua rakan dagang AS adalah tidak berperlembagaan.
Keputusan itu dilaporkan menjadi tamparan besar kepada Trump, yang pada tahun lalu menggunakan undang-undang darurat era 1970-an untuk mengenakan tarif lebih tinggi dengan pantas tanpa kelulusan Kongres, walaupun kuasa percukaian diperuntukkan kepada cabang perundangan.
Mengekalkan keputusan mahkamah lebih rendah, mahkamah tertinggi memutuskan yang Trump melampaui kuasa presidennya apabila menggunakan Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa 1977 (IEEPA) untuk mengenakan tarif global secara meluas, termasuk duti berkaitan fentanyl ke atas barangan dari China, Kanada dan Mexico. – KOSMO! ONLINE














