fbpx
Fahmi pada sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet di Putrajaya hari ini. Foto FAISOL MUSTAFA/ KOSMO!

Cadangan BDR penjawat awam tidak libatkan sektor pendidikan, kesihatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Cadangan bagi membenarkan kumpulan penjawat awam bekerja dari rumah (BDR) bagi memastikan kelancaran perkhidmatan kerajaan dalam berdepan kesan konflik Asia Barat tidak akan membabitkan sektor pendidikan dan kesihatan buat masa ini.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, berkata kedua-dua sektor terbabit bersifat barisan hadapan.

“(Cadangan bekerja dari rumah) waktu ini tidak (membabitkan sektor pendidikan dan kesihatan).

“Tidak membabitkan dua sektor berkenaan yang bersifat ‘frontline’ (barisan hadapan),” katanya pada sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada cadangan untuk penjawat bekerja dari rumah turut membabitkan sektor pendidikan dan kesihatan.

Dalam perkembangan sama, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, Jemaah Menteri sudah menerima laporan awal berhubung cadangan BDR daripada Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

“Perdana Menteri minta supaya beberapa perkara disusuli dengan lebih rapi dan dibentangkan untuk dibuat keputusan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang akan datang, akan dibuat selepas sambutan Aidilfitri.

“Ini yang menjadi keutamaan, semestinya adalah sektor-sektor bukan kritikal dan Perdana Menteri meminta supaya KSN membentangkan dengan lebih penuh dalam mesyuarat MTEN akan datang,” katanya.

Ditanya sama ada cadangan BDR itu diperluaskan kepada sektor swasta, beliau berkata, sememangnya ada sektor swasta yang mengamalkan inisiatif terbabit sejak pandemik sebelum ini.

“Bagi pihak kerajaan, memandangkan jumlah penjawat awam adalah jumlah yang besar dan signifikan, maka pada waktu ini penyelarasan itu perlu dilakukan di peringkat penjawat awam dahulu.

“Tapi tidak menghalang sektor swasta daripada melaksanakan sekiranya mereka merasakan ada keperluan pada waktu ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI