SEBERANG PERAI – Seorang aktivis dihadapkan ke Mahkamah Majistret Jawi, di sini hari ini atas pertuduhan menimbulkan kegentaran awam melalui kenyataan dimuat naik di akaun Instagram tahun lalu.
Tertuduh, D. Arumugam, 56, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nurul Aina Ahmad.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa telah membuat kenyataan di akaun Instagram miliknya @arun_dorasamy yang mana kenyataan tersebut telah dilihat dan didengar oleh Nor Al Firdaus Nor Al Huda dengan niat hendak menyebabkan kegentaran awam yang boleh mendorong mana-mana orang supaya melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di IKEA Batu Kawan dalam Daerah Seberang Perai Selatan pada 12 Mac 2025 kira-kira pukul 3.45 petang dan pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan (Akta 574).
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Datuk Nazran Mohd Sham dan Timbalan Pendakwa Raya Airina Syazreen Zainurin manakala tertuduh diwakili T. Gunaselaan, Balwant Singh Purba dan Dickson Ng.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Jun sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE














