KONFEDERASI Bola Sepak Asia (AFC) memberi cadangan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk melangsungkan kongres luar biasa bagi mendapat persetujuan mengubah statut sebelum Jun depan.
Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John berkata, langkah itu perlu dilakukan bagi melancarkan proses kongres pemilihan Ahli Jawatankuasa (Exco) yang dijangka berlangsung pada September nanti.
“Mengenai garis masa, kami jangka ada perubahan pada statut FAM nanti dan satu kongres luar biasa akan diadakan oleh FAM bagi mendapat persetujuan daripada ahli gabungan.
“Kemungkinan besar kongres luar biasa itu akan dibuat sebelum Piala Dunia 2026 atau Jun depan. Kemudian, kongres pemilihan akan dibuat selepas Piala Dunia atau paling lewat September nanti.
“Segalanya masih perlu mendapat persetujuan FIFA dan saya harap (kedua-dua kongres) tidak ditangguh kerana tidak mahu FAM tidak ada Exco (baharu) dilantik terlalu lama,” katanya pada sidang media semalam.
Sebagai rekod, semua 17 Exco FAM penggal 2025-2029 telah meletakkan jawatan secara mengejut pada Januari lepas susulan isu pemalsuan dokumen yang menggegarkan arena sukan antarabangsa, September lepas.
Situasi itu menyaksikan pentadbiran FAM telah diambil alih oleh jawatankuasa interim yang diketuai Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman buat sementara waktu sehingga kongres dibuat nanti.
Sementara itu, Windsor menjelaskan rumusan awal audit yang dibuat terhadap badan induk bola sepak Malaysia itu sejak bulan lalu agak memuaskan.
“Kita telah meneliti pelbagai aspek pentadbiran dan penstrukturan dalam FAM termasuk sumber manusia, pekerja, kewangan, pemasaran dan status perlembagaan.
“Ini baru separuh daripada penilaian dan kami jangka laporan penuh mengenai audit ini akan siap tidak lama lagi,” katanya.














