fbpx
ZURAIDI (tengah) bersama sebahagian anak yatim dan asnaf yang menerima sumbangan pakaian raya di sebuah pusat kelengkapan raya di Alor Setar, semalam. - Foto oleh SHAHIR NOORDIN

‘3 tahun baju lama, raya ini dapat baharu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – “Sudah tiga tahun saya pakai baju raya sama, alhamdulillah tahun ini saya bersyukur dapat baju Melayu baharu warna emerald green.”

Demikian kata Muhammad Hafiz Abdul Wahab, 17, ketika ditemui selepas menerima sumbangan baju raya dari Pengerusi Kelab Anak Muda Madani Kedah, Datuk Zuraidi Rahim di sebuah pusat kelengkapan raya di sini semalam.

Menurutnya, dia tidak mengharapkan baju baharu kerana menyedari kemampuan bapanya yang menyara keluarga dengan menoreh getah.

“Alhamdulillah, tahun ini saya berpeluang pakai baju raya baharu. Memang seronok kerana saya juga dapat pilih sendiri baju Melayu di sini.

“Cuma ayah dan abang saya masih tak ada baju raya baharu. Kebiasaannya ayah dan abang akan pakai baju tahun lepas saja, kalau ada orang bagi baju, kami akan ambil,” katanya dari Kampung Charuk Pisang, Sik dekat sini.

Muhammad Hafiz yang merupakan anak bongsu daripada dua beradik dan belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lubuk Merbau itu berkata, bapanya bekerja sebagai penoreh getah untuk menyara keluarga, manakala ibunya meninggal dunia ketika dia berusia empat tahun.

“Abang saya yang kini berusia 21 tahun merupakan orang kurang upaya (OKU) masalah pembelajaran. Selepas pulang dari sekolah, saya biasanya akan bantu ayah buat kerja rumah dan kadang-kadang tolong sediakan juadah berbuka,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penerima bantuan, Daima Zahara Zakaria, 14, dari Felda Lubuk Merbau berkata, dia tidak pernah membeli baju raya di pusat kelengkapan raya yang besar seperti itu.

“Biasanya saya beli di kedai-kedai biasa sahaja. Hari ini seronok kerana saya dapat pilih baju raya sendiri, harga baju ini RM99 yang mana ini baju yang paling mahal pernah saya pakai,” katanya.

Sementara itu, Zuraidi berkata, seramai 56 anak yatim dan asnaf dari beberapa sekolah di Padang Terap dibawa membeli pakaian raya pada program itu.

“Kita anjurkan program ini kerana mahu anak-anak asnaf dan anak yatim dapat merasai kasih sayang dan kegembiraan menyambut Aidilfitri,” katanya.

Menurutnya, kira-kira 370 anak asnaf di beberapa kawasan termasuk Sungai Petani, Merbok dan Padang Terap menerima sumbangan pakaian raya tahun ini dengan peruntukan kira-kira RM50,000. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI