PUTRAJAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) merekodkan sebanyak 12,164 kesalahan menggunakan lorong kecemasan sejak tahun 2023 hingga Februari tahun ini.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, daripada jumlah itu, 689 kes direkodkan hanya dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini.
“Kesalahan salah guna lorong kecemasan dikenal pasti sebagai antara kesalahan utama yang sering berlaku khususnya ketika musim perayaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Iftar JPJ bersama Media, di sini, semalam.
Aedy Fadly berkata, penggunaan lorong kecemasan hanya dibenarkan bagi tujuan tertentu termasuk kenderaan yang mengalami kerosakan atau laluan kenderaan penyelamat seperti ambulans.
“Pengguna jalan raya diingatkan lorong kecemasan hanya boleh digunakan bagi tujuan kecemasan sahaja,” ujarnya.
Jelasnya, walaupun terdapat beberapa lebuh raya yang mengaktifkan laluan tambahan seperti smart lane bagi mengurangkan kesesakan, pengguna jalan raya tetap tidak dibenarkan menyalahgunakan lorong kecemasan.
Tambahnya, JPJ melalui Unit Rondaan Lebuh Raya akan menjalankan pemantauan sepanjang musim perayaan dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pemandu yang melakukan kesalahan tersebut. – KOSMO! ONLINE














