KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu mengikut jejak Kelantan mengisytiharkan Khamis ini sebagai cuti kelepasan am tambahan sempena Hari Raya Aidilfitri.
Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Mohd. Azmi Mohamad Daham berkata, kerajaan negeri turut bersetuju mengekalkan 23 Mac ini sebagai hari kelepasan am negeri seperti yang diwartakan sebelum ini.
“Kerajaan negeri Terengganu bersetuju untuk mengisytihar 19 Mac bersamaan 29 Ramadan sebagai cuti hari kelepasan am sempena Hari Raya Aidilfitri.
“Hari kelepasan am negeri pada Isnin, 23 Mac ini juga dikekalkan mengikut Seksyen 9 (1) Akta Hari Kelepasan 1951,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, tarikh melihat awal bulan Syawal telah ditetapkan pada Khamis ini bagi menentukan 1 Syawal sama ada Jumaat atau Sabtu ini. – KOSMO! ONLINE














