fbpx
Gambar hiasan.

Sisa makanan bazar Ramadan di KL meningkat ketara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kutipan sisa domestik sepanjang 1 hingga 25 Ramadan tahun ini di ibu negara mencatatkan peningkatan ketara apabila merekodkan sebanyak 45,108.31 tan metrik berbanding 36,797.55 tan metrik dalam tempoh sama tahun lalu.

Data yang dikeluarkan oleh Alam Flora Sdn. Bhd. menunjukkan jumlah itu bersamaan peningkatan kira-kira 23 peratus, sekali gus menggambarkan peningkatan penghasilan sisa khususnya sepanjang bulan Ramadan.

Bagi Putrajaya, jumlah kutipan sisa domestik adalah sebanyak 2,793.04 tan metrik dalam tempoh sama, sedikit menurun sekitar dua peratus berbanding 2,861.36 tan metrik pada tahun lalu.

Sementara itu, negeri Pahang merekodkan kutipan sebanyak 13,618.59 tan metrik, iaitu penurunan kira-kira 28 peratus berbanding 18,841.18 tan metrik pada Ramadan tahun sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Sdn. Bhd., Shariman Yusuf Mohamed Zain berkata, makanan tidak habis atau berlebihan yang dijual di bazar Ramadan dikenal pasti sebagai antara penyumbang terbesar kepada peningkatan jumlah sisa.

Menurut beliau, selain sisa makanan, plastik bungkusan dan bekas polisterin turut menyumbang kepada pertambahan sisa domestik sepanjang tempoh tersebut.

“Melalui kempen Tapau Elak Sisa, kami menggalakkan orang ramai membawa bekas makanan sendiri atau menggunakan tiffin. Usaha ini bukan sahaja dapat mengurangkan sisa, malah memupuk amalan penggunaan semula yang lebih lestari,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan statistik antara 2024 hingga 2026, trend kutipan sisa pepejal sepanjang Ramadan menunjukkan peningkatan ketara terutamanya di kawasan berkepadatan tinggi seperti Kuala Lumpur.

“Namun begitu, dianggarkan sehingga 60 peratus sisa makanan sebenarnya boleh dielakkan sekiranya orang ramai mengamalkan perancangan pembelian serta kaedah penyimpanan makanan yang betul.

“Bagaimanapun, kerjasama daripada semua pihak tetap diperlukan untuk membantu menjaga kebersihan di kawasan masing-masing.

“Sebagai contoh, sisa makanan dan sisa kitar semula perlu diasingkan, diikat dengan kemas dalam beg plastik yang sesuai dan diletakkan di tepi tong pada hari kutipan untuk barangan kitar semula selaras dengan program pengasingan sisa daripada punca oleh kerajaan,” tegasnya.

Alam Flora menyeru orang ramai untuk menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Alam Flora di talian 1-800-88-7472 yang beroperasi setiap hari dari pukul 8 pagi sehingga 8 malam untuk berkongsi maklumat tahap kebersihan di kawasan masing-masing supaya tindakan susulan boleh diambil. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI