PETALING JAYA – Orang ramai mengecam tindakan beberapa individu didakwa bermain mercun di belakang Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu kerana mengganggu pesakit termasuk bayi yang ditempatkan di hospital berkenaan.
Menerusi video dimuat naik seorang pengguna Threads Ziey8985, memperlihatkan terdapat individu bermain mercun di tepi pantai dipercayai di belakang hospital tersebut dengan bunyinya didengari hingga di dalam wad Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU).
Pengguna Threads tersebut turut berkongsi video dari dalam wad tersebut yang mana kedengaran bunyi kuat letupan mercun dibakar berdekatan kawasan hospital.
“Siapa yang pasang mercun belakang HSNZ tadi lepas berbuka? Memang tak reti bahasa lah. Kasihan dekat bayi-bayi dalam NICU ni oi,” katanya dalam hantaran tersebut, malam tadi.
Menerusi ruangan komen, Ziey8985 turut memaklumkan, kejadian itu telah dilaporkan kepada pihak polis.
“Ada orang tolong lapor dah bilik gerakan polis,” katanya.
Dalam pada itu, orang ramai mengecam tindakan tidak bertanggungjawab berkenaan, selain berharap pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas mereka.
“Maaf yang ini memang tak boleh kompromi sebab dekat sangat dengan hospital, orang nak berehat. Kalau kat wad baby (bayi) semua baby pakat nangis, kan dah menyusahkan ibu atau jururawat kat situ,” komen pengguna Thread Fiq.sh4fiq.
“Polis tolong meronda kawasan itu boleh tak? Kasihan pesakit kat hospital,” komen Stitch Lilo190.
“Anak-anak pakai mesin dalam tu, dengar kuat macam ni. Apa kesan pada bayi? Tak ada otak sebelum buat kerja,” kata Izzati Ahmad Store. – KOSMO! ONLINE
View on Threads














