LONDON – Naib juara dunia MotoGP 2025, Alex Marquez mendedahkan dia hampir menamatkan kariernya lebih awal selepas bergelut mendapatkan keyakinan sewaktu bersama Honda beberapa tahun lalu.
Pelumba pasukan Gresini Ducati itu mengakui detik hitam dalam kerjayanya berlaku pada penghujung musim 2022, di mana dia mula meragui keupayaan diri sama ada benar-benar layak untuk bersaing di pentas tertinggi MotoGP.
Selepas memenangi gelaran Moto2 pada 2019, Alex melangkah ke kancah MotoGP bersama pasukan utama Honda, namun hanya sempat bertahan setahun sebelum ‘diturunkan pangkat’ ke pasukan satelit, LCR Honda.
“Itu adalah saat paling sukar dalam hidup saya. Sebahagian daripada diri saya berkata, ‘kamu tidak mampu melakukannya lagi,’ manakala sebahagian lagi mahu terus berjuang.
“Mujurlah ego untuk terus bertahan mengatasi rasa putus asa. Saya beritahu diri sendiri untuk memberi satu peluang terakhir dengan jentera yang lebih kompetitif seperti Ducati bersama pasukan Gresini,” katanya.
Keputusan Alex untuk menyertai Gresini ternyata membuahkan hasil apabila bangkit bersaing bersama kelompok hadapan, selain berjaya keluar daripada bayang-bayang abangnya, Marc Marquez.
Lebih manis, Alex muncul naib juara dunia musim lalu dengan catatan tiga kemenangan Grand Prix, sekali gus meletakkannya sebagai antara pencabar gelaran musim ini.
Ditanya mengenai peluangnya untuk merangkul kejuaraan dunia musim ini berbekalkan jentera spesifikasi kilang Ducati GP26, pelumba Sepanyol itu lebih selesa untuk bersikap merendah diri.
“Di atas kertas, jawapannya ya (boleh menang). Namun, kita perlu lihat apa yang berlaku di atas litar nanti kerana segalanya boleh berubah,” tambah Alex. -AGENSI














