KOTA BHARU – Sebanyak 24,135 saman dikeluarkan dalam tempoh 17 hari menerusi sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas) yang baru dipasang di depan Istana Negeri Kelantan, Kubang Kerian pada bulan lalu.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan, Mohd. Misuari Abdullah berkata, kesalahan itu direkodkan dari kedua-dua arah iaitu Kota Bharu-Kuala Terengganu dan Kuala Terengganu Kota Bharu bermula 17 Februari hingga 5 Mac lalu.
Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 15,553 saman melibatkan pelbagai kenderaan dari arah Kota Bharu yang tidak mematuhi had laju yang ditetapkan di kawasan tersebut iaitu 60 kilometer sejam.
“Sebanyak 8,582 saman dikeluarkan kepada pengguna jalan raya dari arah Kuala Terengganu-Kota Bharu pula sebanyak 8,582 kes. Setakat ini, jumlah saman yang paling tinggi direkodkan pada 20 Februari dengan 1,771 kes, manakala saman terendah pada 5 Mac dengan 969 kes.
“Statistik itu mencatatkan kadar ketidakpatuhan had laju yang lebih tinggi dari arah Kota Bharu berbanding ke Kuala Terengganu,” katanya kepada pemberita semasa meninjau operasi Awas di depan Istana Negeri, Kubang Kerian, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Misuari memberitahu, selain Istana Negeri Kelantan, AWAS yang beroperasi di Kelantan adalah di Kilometer 17 Jalan Gua Musang–Kuala Krai yang melibatkan had laju 90 kilometer sejam.
Menurutnya, sebuah lagi Awas akan dipasang di Kilometer 116 Lebuh Raya Timur Barat, Jalan Jeli-Gerik dalam masa terdekat.
“Kamera pada Awas merupakan sistem penguatkuasaan automatik yang menggantikan Sistem Penguatkuasaan Automatik. Ia dilengkapi pelbagai ciri baharu dan keupayaan pemantauan sehingga 360 darjah.
“Awas berfungsi mengesan pelanggaran had laju, kesalahan melanggar lampu isyarat, pusingan U tidak sah dan pemantauan persekitaran jalan raya,” katanya. – KOSMO! ONLINE














