KLANG – Semua pelabuhan di negara ini perlu bersiap siaga sepenuhnya bagi menerima kemasukan dan mengendalikan tambahan kontena yang mungkin tersekat susulan konflik di Asia Barat.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, langkah itu bagi memastikan tiada berlaku gangguan atau kesesakan terutama kontena dalam yad pelabuhan.
“Semua pelabuhan termasuk Pelabuhan Klang mesti bersiap sedia menerima dan mengendalikan tambahan kontena yang mungkin tersekat di pelabuhan lain (susulan gangguan pengangkutan laut di Selat Hormuz).
“Kementerian Pengangkutan telah mengadakan mesyuarat dengan pengendali utama pelabuhan dan semua lembaga pelabuhan supaya memastikan pelabuhan kita dalam keadaan siap-siaga,” katanya pada majlis perasmian Bangunan Annex Lembaga Pelabuhan Kelang (LPK) dan Iftar Ramadan di sini, malam ini.
Justeru katanya, semua pelabuhan perlu mengambil peluang menambah pengendalian kargo yang biasanya melalui pelabuhan di Jebel Ali, Khalifah Port, Salalah Bay dan Muscat.
“Saya telah arahkan supaya kontena kosong tidak disimpan di yad pelabuhan dan dipindah terus ke depoh luar pelabuhan, sementara Agensi Pengangkutan Awam Darat diminta memastikan depoh di luar pelabuhan beroperasi 24 jam sehari,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














