PETALING JAYA – Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar secara rasmi memohon agar pemecatan keahliannya daripada UMNO dibatalkan serta nombor keahlian asalnya diaktifkan semula.
Khairy berkata, permohonan itu dibuat atas semangat gagasan Rumah Bangsa selepas beliau mengadakan pertemuan dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam suasana Ramadan baru-baru ini.
Menurutnya, beliau menghargai keterbukaan serta kebesaran hati Ahmad Zahid yang sudi menerima kunjungannya bagi membincangkan hasrat untuk kembali bersama parti tersebut.
“Dengan jiwa besar Presiden, beliau telah menerima saya kembali ke rumah lama saya, satu-satunya rumah yang saya kenali.
“Saya berharap Presiden UMNO, Majlis Tertinggi UMNO dan Jawatankuasa Rumah Bangsa dapat mempertimbangkan hasrat saya dengan sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Khairy berkata, ketika landskap politik negara berdepan pelbagai ketidaktentuan, UMNO perlu terus diperkukuhkan sebagai wadah perjuangan yang menyatukan orang Melayu dan membangunkan negara untuk seluruh rakyat Malaysia.
Beliau menegaskan tidak meletakkan sebarang syarat, kepentingan peribadi atau permintaan sekiranya diberi peluang kembali menyertai parti itu.
“Saya tidak meminta apa-apa, cukuplah diberi peluang untuk menjadi seorang anak kapal biasa.
“Yang penting, bahtera bangsa ini terus berlayar meredah ombak dan badai zaman dengan harapan penyatuan sebuah bangsa yang bersatu, teguh dan bermaruah,” katanya.-KOSMO! ONLINE.














