KUALA LUMPUR – Seramai 10,000 anak-anak Pahang di perantauan menerima baucer bernilai RM100 bagi pembelian barangan yang akan dikreditkan ke dalam aplikasi e-wallet PahangGo.
Pemberian baucer tersebut dilaksanakan menerusi Program Baucar Raya “Moh Balik Negeri Pahang” yang berlangsung di Stadium Titiwangsa, di sini malam semalam yang disempurnakan Menteri Besar Pahang, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail.
Wan Rosdy berkata, program yang memasuki edisi ketiga sejak mula diperkenalkan pada tahun 2024 itu memperuntukkan dana berjumlah RM1 juta.

Jelas beliau, pelaksanaan program itu adalah sebagai salah satu inisiatif kerajaan negeri bagi membantu anak-anak Pahang di perantauan pulang menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga di kampung halaman.
“Alhamdulilah, pendapatan Kerajaan Negeri Pahang tahun ini agak baik dan kita dapat meneruskan lagi program ini untuk kali ketiga berturut-turut.
“Saya berharap inisiatif ini dapat membantu mereka pulang beraya bersama keluarga serta terus mengeratkan hubungan dengan negeri Pahang Darul Makmur,”katanya ketika ditemui pada majlis tersebut.
Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, bagi tahun 2024 dan 2025 Kerajaan Negeri telah memberi baucar patrol dan diesel sebanyak RM50 untuk 5,000 orang penerima.
Bagaimanapun katanya, pada tahun ini, pelaksanaan program dipertingkatkan dengan pemberian baucer menerusi aplikasi e-wallet PahangGo.
“Nilai baucar juga dinaikkan kepada RM100 seorang, manakala jumlah penerima meningkat kepada 10,000 orang anak Pahang di seluruh negara.
“Daripada jumlah tersebut, seramai 2,000 penerima menerima baucar pada majlis malam ini di Kuala Lumpur.
“Manakala baki 8,000 penerima lagi akan menerima baucar melalui penyerahan oleh kepimpinan negeri di kampung halaman masing-masing di Pahang,”ujarnya.
Wan Rosdy menambah, program itu menerima sambutan luar biasa dengan 77,452 permohonan diterima dalam tempoh tujuh hari sahaja sejak permohonan dibuka.
Pemilihan penerima telah dilaksanakan secara teliti oleh Sekretariat Perantau Anak Pahang bagi memastikan pengagihan dibuat secara adil serta mengelakkan pertindihan penerima.
“Kerajaan Negeri juga telah menubuhkan Sekretariat Perantau Anak Pahang pada tahun 2024 sebagai jambatan penghubung antara Kerajaan Negeri dan anak-anak Pahang di perantauan.
“Melalui sekretariat ini pelbagai program telah dilaksanakan seperti Larian Tok Gajah, program Baucar Raya dan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Perantau Anak Pahang,”ujarnya.
Sementara itu, bagi seorang penerima baucer tersebut Shukri Mohd Dewan, 52, berkata, dengan adanya inisiatif tersebut, ia dapat menampung perbelanjaan untuk pulang ke kampung halaman di Rompin, Pahang.
“Terima kasih Kerajaan Pahang dan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang sentiasa prihatin dengan anak-anak Pahang yang berada di perantauan.
“Ringan sedikit beban kami untuk pulang menyambut hari raya di kampung halaman di Pahang. Saya akan gunakan baucer ini untuk membeli barang-barang dapur sebagai persiapan untuk hari raya nanti,”ujarnya.

Dalam pada itu, bagi seorang pekerja swasta Aqilah Abdul Khalid, 24, berkata, inisiatif baucer itu sangat berguna kepadanya yang baru memulakan pekerjaan di sebuah syarikat di Shah Alam.
Jelasnya, baucer tersebut akan digunakan untuk pembayaran bil dsn bayaran parkir sewaktu pulang ke kampung halaman di Jengka 22 hujung minggu ini.
“Seronok sebab ini kali pertama kali mohon, terus dapat. Syukur sebab saya pun baru sahaja bekerja, jadi baucer ini sangat membantu ketika balik kampung nanti.
“Hanya dengan menggunakan aplikasi PahangGo kami boleh membeli barang keperluan dan membuat pembayaran dengan mudah secara dalam talian,”katanya.
Turut berterima kasih atas inisiatf tersebut adalah seorang lagi rakan Aqilah iatu Aliana Syakira, 24, yang menetap di Cheras.
“Terima kasih Kerajaan Pahang dan Menteri Besar atas sumbangan ini. Kami sebagai anak jati Pahang saya menghargainya.
“Saya harap inisiatif ini dapat diteruskan pada masa akan datang dan diharap lebih ramai lagi anak perantau Pahang yang menerima inisatif ini,”ujarnya.-KOSMO! ONLINE














