KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperuntukkan sebanyak RM1 juta kepada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) bagi memastikan kebajikan bekas atlet negara terus terbela.
Menterinya, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, peruntukan tersebut merupakan komitmen kerajaan dalam membantu yayasan berkenaan menjalankan pelbagai program kebajikan kepada atlet veteran di seluruh negara.
“Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM1 juta kepada YAKEB untuk mereka bergerak dan memberikan bantuan kebajikan kepada bekas atlet negara,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan sumbangan bekas atlet negara sebagai persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri, semalam.
Menurut beliau, bantuan tersebut penting bagi memastikan pengorbanan atlet yang pernah mengharumkan nama negara tidak dilupakan selepas mereka bersara daripada arena sukan.
“Kalau hendak dibandingkan dengan pengorbanan yang telah mereka lakukan untuk negara, ia sebenarnya tidak terbayar. Mereka telah banyak mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia,” jelasnya.
Pada majlis tersebut, seramai kira-kira 50 bekas atlet menerima sumbangan duit raya serta bakul makanan sebagai persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.
Dalam masa sama, Taufiq menegaskan KBS akan terus bekerjasama rapat dengan Yakeb bagi memastikan kebajikan atlet bukan sahaja ketika aktif, tetapi juga selepas mereka bersara daripada sukan.
“Kita sentiasa mahu memastikan kebajikan atlet dijaga, bukan hanya atlet yang masih aktif tetapi juga bekas atlet yang telah banyak berjasa kepada negara,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau turut menyeru syarikat korporat, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta badan swasta agar tampil menyokong usaha YAKEB dalam menjaga kebajikan atlet negara.
“Kita harap lebih banyak pihak korporat dan GLC dapat bersama membantu yayasan ini supaya kebajikan atlet negara dapat dijaga secara berterusan,” katanya. KOSMO! ONLINE














