fbpx
Wan Norizan ketika sidang media kejayaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia WPKL menyita sejumlah kenderaan tidak berkastam dan cubaan penyeludupan minuman keras serta aktiviti pembototan haram dengan nilai termasuk duti RM5,195,778.08. Foto SADDAM YUSOFF/KOSMO!

Kastam sita 13 kenderaan import, tumpas sindiket arak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) berjaya mematahkan sindiket kenderaan import tidak berkastam serta cubaan menyeludup minuman keras dan aktiviti pembotolan haram di Lembah Klang baru-baru ini.

Pengarah JKDM WPKL, Wan Norizan Wan Daud berkata, pihaknya merampas sebanyak 13 unit kenderaan import bernilai lebih RM4 juta termasuk cukai dalam Ops Terma yang dijalankan antara 5 Januari hingga 6 Februari lalu.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati semua kenderaan itu telah disimpan melebihi tempoh penyimpanan yang dibenarkan iaitu 48 bulan di gudang berlesen seperti di bawah peruntukan Seksyen 65(2) dan 65(5) Akta Kastam 1967.

“Nilai kenderaan yang disita dianggarkan berjumlah RM1,740,400 dengan anggaran duti dan cukai import terlibat sebanyak RM2,866,259.69.

“Kes ini masih dalam siasatan untuk mengesan syarikat atau ejen pengimport yang terlibat bagi tindakan selanjutnya,” katanya ketika sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam pada itu, Wan Norizan berkata, pihaknya telah menahan sebuah kontena bersaiz 40 kaki yang membawa dagangan minuman keras pelbagai jenama yang disyaki tidak berkastam di Pelabuhan Klang mlelaui Ops Petasan yang dijalankan pada 11 Februari lalu.

“Hasil pemeriksaan ke atas kontena tersebut telah menemukan sejumlah dagangan yang disyaki minuman keras pelbagai jenama dengan anggaran kuantiti sebanyak 4,552.52 liter.

“Nilai rampasan termasuk cukai yang terlibat dianggarkan berjumlah RM380,524.16,” katanya.

Beliau berkata, modus operandi digunakan ialah dengan membuat pengikraran palsu dalam borang kastam dengan menyatakan barangan sebagai ‘household’ bagi mengelakkan keperluan permit import serta pembayaran cukai semasa pengimportan.

“Kes ini sedang disiasat di bawah Akta Kastam 1967,” katanya.

Selain itu katanya, pada 6 Februari lalu, bertindak atas maklumat awam, JKDM berjaya mematahkan sindiket pemprosesan serta pembotolan minuman keras jenis bir pelbagai jenama secara haram melalui serbuan di sebuah premis tidak bertanda di Kampung Bukit Lanchong, Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan menemukan sejumlah peralatan pemprosesan dan pembotolan.

“Turut ditemui minuman keras pelbagai jenama yang disyaki tak berkastam dengan anggaran kuantiti sebanyak 703.3 liter, melibatkan nilai dan cukai yang dianggarkan berjumlah RM208,594.24,” katanya.

Katanya, modus operandi kes tersebut ialah menjadikan premis yang terletak di kawasan pedalaman sebagai lokasi untuk memproses minuman keras tiruan bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 74(1)(f)Akta Eksais 1976.

“Sehubungan itu, orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain- lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut,” katanya.

Katanya, penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah ianya turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.-
KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI