SEBERANG PERAI – Kes pembakaran terbuka dikenal pasti sebagai punca utama aduan pencemaran alam sekitar yang diterima Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang sepanjang tiga bulan pertama tahun ini.
Pengarahnya, Badlishah Ahmad berkata, daripada 254 aduan yang diterima setakat semalam, sebanyak 167 daripadanya berkaitan aktiviti pembakaran terbuka di kawasan tanah terbiar, tapak pembangunan, kawasan pertanian, rizab kerajaan serta kawasan perumahan.
Menurutnya, secara keseluruhan sebanyak 216 aduan melibatkan pencemaran udara, diikuti 19 kes pencemaran air, lima aduan bunyi bising serta dua kes berkaitan sisa buangan terjadual.
“Aduan lain yang diterima adalah berkaitan serta tumpahan minyak marin (satu aduan) serta 11 aduan berkaitan kacau-ganggu dan pembuangan sampah sarap,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati kira-kira 60 peratus daripada aduan yang diterima adalah berasas manakala selebihnya tidak berkaitan dan telah dirujuk kepada agensi lain untuk tindakan lanjut.
Dalam tempoh sama, tambahnya, JAS Pulau Pinang turut mengambil tindakan penguatkuasaan dengan mengeluarkan 73 surat amaran, 13 notis arahan serta lima kompaun terhadap kesalahan berkaitan pencemaran alam sekitar. -KOSMO! ONLINE














