PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir susulan jangkaan hujan lebat dan angin kencang di sembilan negeri hingga pukul 5 petang ini.
MetMalaysia dalam kenyataan berkata, antara negeri yang terlibat di Semenanjung adalah Perak (Kampar, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim), Pahang (Rompin), seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Turut diramal mengalami hujan adalah Negeri Sembilan (Jelebu, Seremban, Port Dickson, Kuala Pilah dan Rembau), Melaka (Alor Gajah) dan Johor (Segamat, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru).
“Bagi Sarawak, kawasan yang terjejas adalah Kuching (Bau dan Kuching), Sri Aman, Sibu (Selangau), Kapit (Song) dan Bintulu (Tatau),” lapor MetMalaysia.
Sementara itu, di Sabah, cuaca buruk dijangka berlaku di Pedalaman (Beaufort dan Tambunan) dan Pantai Barat (Papar, Penampang, Kota Kinabalu dan Tuaran).
MetMalaysia memaklumkan, amaran hujan lebat dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Jelasnya, amaran tersebut adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – KOSMO! ONLINE













