SETIU – Hasrat Mohamad Shakiran Saidi, 36, untuk pertama kali berpakaian sedondon bersama isteri dan tiga anak di pagi raya tidak kesampaian apabila dia maut bersama rakan sekerja dalam kemalangan di Kampung Buluh, di sini semalam.
Isterinya, Nor Fatin Mohd. Azhar, 36, berkata, tambah memilukan baju Melayu berwarna merah, sepatutnya dipakai arwah suami pada pagi raya ditemui di dalam kereta Honda Civic dinaiki yang terlibat dalam kemalangan tersebut.
“Kami merupakan pasangan jarak jauh ekoran komitmen arwah sebagai anggota tentera. Sebelum ini selama 11 tahun berkahwin, kami tidak pernah berpakaian sedondon bersama di pagi raya.
“Arwah sendiri yang mencadangkan tema pakaian berwarna merah dengan baju Melayu dibelinya sendiri, manakala baju saya dan anak-anak pula, saya yang sediakan,” katanya ketika ditemui di pekarangan Rumah Mayat Hospital Setiu, di sini hari ini.
Terdahulu Mohamad Shakiran dan rakan sekerjanya, Muhammad Aminuddin Amran yang dalam perjalanan pulang beraya ke Kelantan dari Kem Tebrau, Johor maut dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan pada pukul 12.05 tengah hari.
Nor Fatin yang merupakan kakitangan sebuah hospital di Kelantan berkata, arwah suaminya juga teruja untuk bertemu dengan bayi bongsu mereka,Muhamad Harasy Mikhail yang kini berusia lapan bulan.
“Kami sudah lama menanti tinggal bersama, tak sangka impian itu lebur dengan dia pulang sebagai jenazah,” katanya. – KOSMO! ONLINE














