fbpx
Sapiah Harun

Gangguan sistem punca caj parkir RM183 di Pasar Borong Melaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Caj parkir sebanyak RM183.38 yang dikenakan terhadap seorang pengguna di Pasar Borong Melaka disyaki berpunca daripada ketidakselarasan data dalam sistem parkir digunakan.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datuk Sapiah Haron berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu kemungkinan berlaku apabila kad yang berbeza digunakan semasa kenderaan memasuki dan keluar dari kawasan parkir.

Menurutnya, situasi tersebut menyebabkan rekod transaksi dalam sistem tidak lengkap, sekali gus mengakibatkan caj parkir terkumpul secara automatik sehingga memaparkan jumlah bayaran yang tinggi.

“Perkara ini sedang disiasat bersama pihak operator sistem parkir yang dilantik bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

“Semakan teknikal awal menunjukkan kemungkinan wujud ketidakselarasan data dalam sistem parkir sehingga menyebabkan caj yang dipaparkan menjadi tidak munasabah,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, Kosmo! hari ini melaporkan kerajaan negeri mengarahkan siasatan dijalankan berhubung dakwaan seorang pengguna dikenakan caj parkir sebanyak RM183 di Pasar Borong Melaka yang tular di media sosial sejak semalam.

Mengulas lanjut, Sapiah berkata pihaknya telah menghubungi pengadu bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan kejadian tersebut selain melakukan semakan data sistem serta rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) bersama operator parkir.

“Kami tidak akan berkompromi sekiranya siasatan mendapati terdapat kelemahan pada sistem parkir dan tindakan sewajarnya akan diambil bagi memastikan perkara sama tidak berulang,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI