PUTRAJAYA – Perkembangan geopolitik, ekonomi dan teknologi global yang semakin tidak menentu menimbulkan persoalan penting mengenai bagaimana negara-negara Asean harus bertindak dalam menghadapi perubahan itu dengan jelas serta penuh keyakinan.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, keadaan global ketika ini menyaksikan ketegangan geopolitik yang terus membentuk semula hubungan antarabangsa dalam era persaingan kuasa.
Menurutnya, pada masa sama sistem ekonomi dunia turut menyesuaikan diri dengan pelbagai tekanan baharu, manakala perkembangan teknologi pesat sedang mengubah struktur masyarakat pada kadar yang sukar dijangka sebelum ini.
“Kita bertemu pada saat persekitaran global menjadi semakin tidak menentu. Ketegangan geopolitik terus membentuk semula hubungan antarabangsa dalam era persaingan kuasa.
“Sistem ekonomi pula sedang menyesuaikan diri dengan tekanan baharu, manakala perubahan teknologi yang pesat mengubah masyarakat pada kadar yang sukar dijangka sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pembukaan pada Forum Ilmuwan Malaysia Madani: Strategies for Malaysia and ASEAN in an Era of Global Instability yang dikendalikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku moderator, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Zambry berkata, perkembangan tersebut turut menimbulkan persoalan penting kepada Malaysia dan rantau ini mengenai pendekatan yang perlu diambil dalam menghadapi era ketidakstabilan global. – KOSMO! ONLINE














