LONDON – Pengendali Chelsea, Liam Rosenior menzahirkan rasa kecewa selepas menyaksikan pasukannya tewas 0-1 berdepan Newcastle United di laman sendiri, Stamford Bridge awal pagi semalam.
Biarpun berjaya mendominasi permainan, Rosenior mengakui para pemainnya kekurangan kreativiti dalam melakukan serangan menyebabkan mereka gagal menghasilkan jaringan selain tidak gembira apabila pasukannya dinafikan sepakan penalti ketika Cole Palmer dikasari.
“Ya, ia mengenai isu taktikal. Kami melakukan serangan dengan cara berbeza ketika berdepan pasukan berlainan. Itu pendekatan baharu yang cuba kami lakukan.
“Namun, kami tidak melakukan tekanan dan bertahan dengan cara yang betul untuk beberapa posisi menyebabkan kesilapan berlaku. Mereka (Newcastle) tidak mengancam kami sepanjang perlawanan itu, cuma kami yang ‘hadiahkan’ mereka gol itu,” katanya.
Prestasi The Blues sejak kebelakangan ini dibayangi oleh kegagalan mereka untuk menyelamatkan keadaan ketika salah seorang pemain mereka melakukan kesilapan dan sekali lagi berdepan situasi tersebut ketika menentang Newcastle.
Rosenior turut mengakui kehilangan beberapa pemain tonggak akibat kecederaan menyebabkan proses penggiliran pemain yang digunakan terganggu sekali gus tidak dapat menurunkan pemain yang benar-benar ‘segar’.
“Kami berdepan kesukaran ekoran kecederaan terutama untuk pemain di bahagian serangan. Ini bukan alasan, tetapi kami kehilangan tiga atau empat pemain yang memiliki kreativiti ketika pasukan lawan bermain secara bertahan,” jelasnya.
Kekalahan itu menyebabkan Chelsea kini berisiko kehilangan kedudukan dalam kelompok lima pasukan terbaik dan berkemungkinan tidak layak ke pentas Liga Juara-Juara (UCL) musim depan. – AGENSI














