KUALA LUMPUR – Dua lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah lebih 3,000 kilogram (kg) awal bulan ini.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua iaitu Chew Weng Han, 38, dan Liang Kar Jun, 44, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret M. S. Arunjothy.
Pertuduhan tidak direkodkan berikutan kes dadah itu dibawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua mereka didakwa mengedar 3,205 plastik lutsinar dadah jenis methamphetamine seberat 3,320.69 kg dan empat plastik lutsinar dadah jenis ekstasi seberat 1.438 kg.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Taman Gembira, Brickfields di sini pukul 7.35 malam pada 2 Mac lalu yang didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 39B (2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup. Sekiranya tidak dihukum mati hendaklah dihukum dengan sebatan tidak kurang daripada 15 kali.
Semasa prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Vivi’ Asnitha Zaina’ Larifin manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Mohamed Ashmeer Mohamed Ashrof Raja.
Mahkamah kemudian menetapkan 16 Jun ini bagi sebutan semula kes.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah selepas merampas lebih 3.4 tan dadah jenis methamphetamine dianggarkan bernilai RM170 juta dalam dua siri serbuan di sekitar ibu negara pada 2 Mac lalu. – KOSMO! ONLINE














