MELAKA – Kegiatan seorang lelaki menjadikan rumah sewanya sebagai bengkel membaiki serta mengubah suai senjata angin dan air soft gun terbongkar selepas diberkas polis dalam satu serbuan di Taman Tanjung Minyak, di sini awal pagi tadi.
Dalam serbuan kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu, suspek yang berusia 42 tahun diberkas sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Khas (D9) serta Bahagian Perjudian dan Maksiat (D7), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dalam Operasi Laras.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, hasil pemeriksaan di rumah sewa suspek membawa kepada rampasan sepucuk pistol tulin jenis Sig Sauer, enam laras air rifle bersama komponen, 100 butir peluru 9mm jenis blank cartridges serta tiga set walkie-talkie.
“Turut dirampas ialah enam beg sarung laras senapang berwarna hitam, sebuah kotak mengandungi pelbagai komponen senjata serta beberapa mesin seperti gerudi, alat pengukur dan pengikir besi yang dipercayai digunakan untuk membaiki dan membuat senjata tersebut.
“Suspek dipercayai menjadikan premis itu sebagai tempat membaiki serta mengubah suai air rifle dan air soft gun sebelum dijual semula kepada pelanggan dari seluruh negara,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah hari ini.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati suspek membeli senjata angin dengan harga sekitar RM1,500 sebelum mengubah suainya dan menjual semula pada harga antara RM3,000 hingga RM3,500 seunit.
“Suspek juga dipercayai mempelajari kemahiran membaiki serta mengubah suai senjata tersebut melalui platform YouTube.
“Semakan rekod mendapati lelaki itu mempunyai beberapa rekod jenayah lampau termasuk kes pecah rumah, ugutan jenayah, kesalahan berkaitan senjata serta dadah dan pernah ditahan pada tahun 2022 kerana memiliki senjata api tiruan,” ujarnya.
Tambah beliau, ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.-KOSMO! ONLINE













