PETALING JAYA – Attana Hotels & Resorts (Attana) bersama lima hartanahnya – Perdana Kuala Lumpur City Centre (KLCC), Espira Kinrara, Villea Morib, Villea Port Dickson, dan Villea Rompin Resort & Golf berganding bahu untuk membawa keselesaan dan kegembiraan kepada golongan memerlukan menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Ia merangkumi Program Pengagihan Makanan kepada komuniti gelandangan di Pusat Khidmat Gelandangan Medan Tuanku, serta majlis iftar di Perdana KLCC dengan kerjasama Keluarga Nilam dan Pertubuhan Tindakan Wanita Islam.
Program Pengagihan Makanan di Medan Tuanku berlangsung pada 6 Mac lalu, di mana sebanyak 250 pek makanan dan 250 pek barangan makanan kering telah diagihkan kepada individu gelandangan dan golongan kurang berkemampuan.
Sementara itu, majlis iftar di Perdana KLCC yang diadakan Sabtu lalu meraikan anak-anak dari Rumah Anak Yatim dan Asnaf As-Solihin, serta Asrama Anak-Anak Yatim Darul Taqwa.
Selain pemberian duit raya kepada setiap kanak-kanak yang hadir sebagai tanda ingatan, sejumlah RM8,770 disumbangkan kepada Pertubuhan Kebajikan dan Bimbingan At-Taqwa, Puchong bagi membantu meringankan beban kewangan mereka.
Ketua Pegawai Operasi, Mohd. Iqmal Muslim berkata, Ramadan mengingatkan bahawa kejayaan sebenar diukur melalui kehidupan yang dapat didekati.
“Meneruskan kerjasama ini untuk tahun kedua mengukuhkan lagi komitmen kami untuk berdiri bersama komuniti yang paling memerlukan sokongan.
“Kami berharap usaha ini dapat menginspirasi lebih banyak pihak untuk bersama-sama menzahirkan semangat keprihatinan dan memberi kembali kepada masyarakat,” katanya. – KOSMO! ONLINE














