fbpx
Antara motosikal disita oleh pihak JSPT dalam Op Motosikal yang dijalankan di Lebuh Raya Utara-Selatan semalam.

Aksi ‘Superman’ di lebuh raya, dua penunggang ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Dua penunggang motosikal ditahan selepas dikesan melakukan aksi ‘Superman’ ketika menunggang di Lebuh Raya Utara-Selatan dalam operasi khas yang dijalankan semalam.

Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman berkata, operasi tersebut dijalankan menerusi Op Motosikal (OSJ) bagi mengesan penunggang yang melakukan aksi berbahaya serta motosikal yang diubah suai secara ekstrem dan tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.

Menurut kenyataan itu, operasi yang dilaksanakan oleh Unit Risikan/Operasi JSPT Bukit Aman melibatkan dua pegawai dan 16 anggota dengan pemantauan tertumpu di sepanjang laluan lebuh raya berkenaan.

“Hasil pemerhatian pasukan mendapati dua motosikal melakukan aksi menunggang secara berbahaya dengan perbuatan meniarap di atas motosikal sambil meluruskan kedua-dua kaki ke belakang atau dikenali sebagai aksi ‘Superman’.

“Tindakan tersebut bukan sahaja membahayakan diri penunggang malah turut mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu, katanya, pasukan operasi berjaya menahan kedua-dua suspek di perkarangan stesen minyak Petronas Technology Park sebelum ditahan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu dan berbahaya.

“Dalam operasi sama, pasukan turut menahan beberapa motosikal di Plaza Tol Sungai Besi selepas pemeriksaan mendapati kenderaan terbabit melakukan pengubahsuaian secara ekstrem seperti penggunaan rim tayar kecil, swing arm (lengan ayun) panjang serta sistem ekzos jenis open pipe (ekzos terbuka) yang tidak mematuhi spesifikasi dibenarkan,” ujarnya.

Kata kenyataan itu, kesemua motosikal berkenaan telah dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Serdang untuk tindakan sitaan dan rampasan aksesori.

“Secara keseluruhan, sebanyak 11 saman trafik dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk ubah suai ekzos, ubah suai struktur kenderaan, kenderaan tidak sempurna serta nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi,” jelasnya.

Menurut JSPT, lokasi tersebut sering digunakan oleh penunggang motosikal untuk menunjukkan aksi berbahaya yang boleh mengancam nyawa diri sendiri serta pengguna jalan raya lain.

Sehubungan itu, orang ramai diminta menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mengesan kegiatan sedemikian bagi memastikan keselamatan jalan raya sentiasa terjamin. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN