JAKARTA – Satu aktiviti pembahagian wang zakat di Kota Gresik, wilayah Jawa Timur bertukar kecoh apabila orang ramai saling bergaduh sehingga tercetusnya adegan pukul-memukul, lapor laman berita Detik kelmarin.
Kejadian berlaku Jumaat lalu apabila pembahagian wang zakat sebanyak 50,000 rupiah (RM12) diedarkan pada waktu pagi di Jalan Agus Salim.
Pada awalnya, acara tersebut berlangsung aman, dengan orang ramai beratur untuk mendapatkan wang daripada ahli jawatankuasa.
Bagaimanapun, seorang lelaki dikatakan beratur untuk kali kedua bagi mendapatkan wang tambahan meskipun telah diberitahu jawatankuasa bahawa setiap orang cuma boleh mendapatkan wang sekali sahaja.
Ia menyebabkan orang lain memarahi lelaki tersebut sebelum situasi semakin tegang sehingga berlaku adegan tolak-menolak dan saling memukul.
Seorang wanita yang berada di tempat kejadian turut cedera selepas dipukul, mengakibatkan lebam pada mukanya.
Kekecohan itu memaksa jawatankuasa menghentikan sementara proses pengagihan zakat.
Salah seorang penerima zakat, Hanif berkata, pengagihan itu merupakan acara tahunan yang diadakan setiap Jumaat terakhir bulan Ramadan.
Menurut laporan, kekecohan itu berjaya dikawal sebelum proses pengagihan zakat disambung semula. – AGENSI














