fbpx
Mohd. Khalid pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya, hari ini.

4 individu termasuk Zamri Vinoth bakal didakwa esok – KPN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Polis mengesahkan siasatan terhadap empat individu yang mengeluarkan kenyataan sehingga mencetuskan perdebatan berbaur provokasi berkaitan isu agama dan perkauman telah selesai dan mereka akan didakwa di mahkamah, esok.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, kertas siasatan terhadap kes berkenaan telah dirujuk secara berasingan kepada Pejabat Peguam Negara serta Pengarah Pendakwaan Negeri selaras dengan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, antara individu yang terlibat ialah Zamri Vinoth yang akan didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.

“Beliau akan didakwa di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan berhubung kenyataan penganjuran perhimpunan di perkarangan Kompleks Sogo pada 7 Februari lalu.

“Jika sabit kesalahan, individu tersebut boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.

Selain itu, Tamim Dahri akan didakwa di Mahkamah Majistret Langkawi, Kedah manakala P. Mahendra Bhoopathy akan didakwa di Mahkamah Majistret Seremban, Negeri Sembilan.

Seorang lagi individu, D. Arumugam pula akan didakwa di Mahkamah Majistret Jawi, Pulau Pinang.

Dalam perkembangan sama, Mohd. Khalid berkata pihaknya mempunyai maklumat risikan bahawa Tamim dipercayai telah meninggalkan negara ini dan berada di negara jiran.

“Kita ada maklumat risikan bahawa beliau telah keluar ke negara jiran iaitu Thailand. Dari situ kita masih belum pasti beliau berada di mana dan maklumat lanjut sedang diperoleh,” ujarnya.

Beliau berkata, bagi Zamri pula pihak polis mempunyai maklumat awal mengenai pergerakannya dan percaya individu berkenaan mungkin masih berada dalam negara.

Tambahnya, polis akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa negara jiran sekiranya diperlukan bagi memastikan individu terlibat dibawa pulang untuk didakwa di mahkamah.

Menurut beliau, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan yang boleh menggugat ketenteraman dan keselamatan awam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI