BANGKOK – Seramai 20 kru kapal kargo Thailand yang diserang di Selat Hormuz selamat tiba di tanah air hari ini, manakala tiga rakan sekerja mereka masih terkandas di atas kapal berkenaan di rantau Teluk.
Kapal Mayuree Naree didaftarkan di Thailand itu terkena tembakan dua projektil ketika belayar di perairan Teluk pada Rabu lalu selepas meninggalkan pelabuhan di Emiriyah Arab Bersatu.
Pengawal Revolusi Iran berkata, mereka menyerang kapal Thailand itu, serta kapal yang mengibarkan bendera Liberia di Selat Hormuz kerana mengabaikan ‘amaran’.
20 kelasi tersebut tiba di lapangan terbang antarabangsa utama Thailand awal pagi tadi dan segera diiringi pegawai-pegawai tanpa bercakap kepada pemberita yang berkumpul.
Isteri seorang anak kapal yang pulang dan dikenali sebagai Bass, memberitahu pemberita bahawa dia masih menunggu untuk berjumpa suaminya selepas pengalaman pahit itu.
“Kami semua takut, tetapi mereka adalah pekerja. Jika mereka enggan keluar (ke laut), mereka tidak akan dibayar gaji,” kata wanita berusia 32 tahun itu.
Pemilik kapal Mayuree, Precious Shipping berkata, firma itu akan menyediakan ‘sokongan kebajikan untuk anak kapal, termasuk pemeriksaan perubatan dan penilaian kesihatan mental, demikian menurut satu kenyataan.
“Keutamaan tertinggi adalah pada usaha berterusan untuk mengesan tiga anak kapal yang masih hilang,” tambahnya.
Syarikat itu berkata minggu lalu bahawa ketiga-tiga anak kapal ‘dipercayai terperangkap di dalam bilik enjin’ yang rosak dalam serangan itu.
Tentera laut Oman menyelamatkan 20 kelasi itu pada Rabu lepas. – AFP














