KOTA BHARU – Hampir dua juta kenderaan dijangka masuk ke Kelantan melalui tiga laluan utama di Gua Musang, Jeli dan Pasir Puteh sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri pada minggu ini.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan, Mohd. Misuari Abdullah berkata, jumlah itu mengambil kira statistik yang telah direkodkan sepanjang tahun lalu.
Katanya, sehubungan itu, pengguna jalan raya disarankan menggunakan laluan alternatif bagi mengurangkan kesesakan terutamanya di laluan Gua Musang.
“Seramai 187 anggota penguat kuasa JPJ Kelantan digerakkan untuk melakukan pemantauan bagi memastikan aliran trafik lancar Sempena Ops Khas Hari Raya Aidilfitri.
“Selain itu, kita turut melakukan rondaan melibatkan jalan persekutuan dan negeri dengan tumpuan kepada 10 koridor utama trafik termasuk 38 kawasan ‘hot spot’ kemalangan,” katanya kepada pemberita semasa meninjau operasi sistem Keselamatan Kesedaran Automatik di depan Istana Negeri, Kubang Kerian di sini hari ini.
Mohd. Misuari memberitahu, Jalan Kuala Krai-Gua Musang, Pasir Puteh-Kuala Terengganu serta laluan Jeli-Gerik merupakan antara lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi kemalangan.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, beberapa kaedah penguatkuasaan akan digunakan sepanjang Aidilfitri termasuk rondaan beruniform, penyamaran menggunakan kenderaan tanpa logo dan menyamar penumpang bas ekspres. – KOSMO! ONLINE














